Kes bendera terbalik bukan isu perkauman, tetapi soal kepekaan – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian, Johor, bukan isu perkauman.
Menurutnya, kejadian itu perlu dilihat sebagai isu kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme yang mesti dijaga oleh semua pihak.

“Perlu diingat ini bukan soal perkauman. Ia soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme.
“Semua kaum perlu berhati-hati apabila membabitkan hal-hal sensitif, khususnya pemasangan Jalur Gemilang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ahmad menjelaskan bendera yang dipasang terbalik itu telah dibaiki selepas disedari.
Kesilapan tersebut berlaku kerana kecuaian seorang pekerja wanita di klinik berkenaan, dan beliau memaklumkan ia tidak disengajakan.
Insiden itu mula mendapat perhatian selepas satu video tular di media sosial, memaparkan bendera dipasang secara terbalik pada bangunan tiga tingkat yang menempatkan klinik terbabit.
Rakaman tersebut turut menunjukkan kehadiran anggota polis dan orang awam di lokasi kejadian.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, polis telah mengambil keterangan daripada doktor serta pekerja klinik terbabit.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.
Beliau memaklumkan sudah berbincang dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Setiausaha Majlis dan Pegawai Daerah bagi memastikan perkara itu ditangani dengan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












