BERITA SEMASA

Kes buli MCKK, polis masih tunggu arahan AGC

IPOH – Polis Perak masih menunggu Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tindakan lanjut mengenai siasatan kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dilaporkan berlaku pada September tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya perlu menunggu arahan daripada AGC sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terutamanya bagi mendakwa suspek di mahkamah.

“Kita tunggu arahan AGC,” katanya ringkas ketika dihubungi portal Buletin TV3, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, semalam yang dilapor sebagai berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung kes dakwaan buli pelajar di MCKK itu dan hasil siasatan itu juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Ketika ditanya mengenai sama ada kes berkenaan ditutup atau sebaliknya, Mohd Yusri hanya menjelaskan bahawa pengesahan mengenai perkara itu hanya boleh dijawab oleh AGC.

Pada 10 Disember lalu, Mohd Yusri berkata, pihaknya masih menunggu arahan AGC berhubung status suspek kes dakwaan buli berkenaan, sama ada diteruskan dengan proses pendakwaan atau tidak.

Mohd Yusri ketika itu berkata, kertas siasatan kes buli berkenaan sudah dirujuk semula kepada AGC selepas laporan penuh perubatan mangsa diperoleh daripada Hospital Kuala Kangsar.

Siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu sudah dirujuk kepada AGC sejak 9 November lalu, namun pihak AGC memberikan beberapa arahan khusus untuk melengkapkan siasatan termasuk bagi mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku pada 24 September tahun lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah berprestij itu dilaporkan mengalami kecederaan dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital Kuala Kangsar selepas mendakwa diserang empat pelajar senior Tingkatan Lima.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button