JENAYAH & MAHKAMAH

Kes hasutan Muhyiddin: Mahkamah Tinggi tetapkan enam hari perbicaraan bermula November

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menetapkan enam hari bermula November depan untuk perbicaraan kes hasutan membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Gua Musang, dua tahun lalu.

Tarikh yang ditetapkan ialah pada 3, 4, 5, 11, 12 dan 13 November dengan prosiding akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin mengesahkan penetapan tarikh tersebut dan memaklumkan bahawa pihak pembelaan memohon agar perbicaraan dijadualkan selepas September bagi memberi ruang kepada penyelesaian terlebih dahulu kes Jana Wibawa yang turut melibatkan anak guamnya di mahkamah berasingan.

Menurut beliau, perbicaraan kes Jana Wibawa kini sedang berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dan dijangka selesai selepas September.

“Pihak pembelaan juga memohon agar pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi serta pernyataan bertulis untuk kegunaan perbicaraan kelak,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd Saad dan Nadia Mohd Izhar.

Pada 4 Februari tahun lalu, Muhyiddin, 78, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti FELDA Perasu, antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.

Pertuduhan itu berkait dengan dakwaan bahawa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun mendakwa mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen.

Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes tersebut pada awalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan permohonan pihak pembelaan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel lima hakim menyatakan bahawa pihak pembelaan tidak dihalang daripada membangkitkan empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan semasa perbicaraan nanti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button