JENAYAH & MAHKAMAH

Ketua Pengarah, pengarah jabatan disyaki seleweng dana hampir RM900,000 dilepas dengan jaminan

PUTRAJAYA – Ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan kerajaan yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kira-kira RM900,000 dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kedua-dua suspek dilepaskan Jumaat dan Sabtu lalu.

“Pada 11 Februari lalu, kedua-duanya telah ditahan reman selama lima hari sehingga hari ini. Bagaimanapun mereka telah dilepaskan lebih awal daripada tempoh reman yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.

“Kini SPRM sedang melengkapkan siasatan untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 1 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kata sumber, kedua-dua suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja untuk kepentingan peribadi.

Selain itu, kedua-duanya turut dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, seramai 18 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, SPRM telah menyita beberapa barangan berharga seperti pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan berjumlah kira-kira RM57,000.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button