Ketua PKR Wangsa Maju digantung setahun
CYBERJAYA – Lembaga Disiplin PKR dilaporkan menggantung Ketua PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng, selama setahun susulan penyebaran sebuah video memaparkannya berbincang mengenai urusan kewangan melibatkan cabang itu.
Laporan portal FMT yang memetik Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan sebagai berkata, tugas Chen Heng kini dipangku timbalannya, Azmee Abd Rahim.
Penggantungan itu turut disahkan Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin yang turut memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa Jumaat lepas.
Chen Heng disiasat Lembaga Disiplin PKR selepas tersebarnya satu video menunjukkan beliau seolah-olah mengulas mengenai sumbangan kewangan kepada cabang tersebut daripada seorang ahli perniagaan terkenal.
Beliau didakwa merujuk sumbangan itu sebagai ‘dana tidak diaudit’ yang dikaitkan dengan seorang pemimpin politik kanan.
Chen Heng bagaimanapun mendakwa, klip itu telah disunting secara terpilih dan disebarkan dengan niat jahat bagi mencemarkan reputasinya, memandangkan ia mula tular sewaktu musim pemilihan PKR.
April lalu, Lai menafikan dakwaan penyata kewangan Cabang Wangsa Maju bagi 2024 telah dimanipulasi, sambil menyatakan tuduhan sedemikian tidak berasas dan bermotifkan politik.
Dalam pemilihan PKR sebelum ini, Chen Heng mengekalkan jawatan ketua PKR berkenaan ketika pemilihan cabang setelah menewaskan pencabar terdekat, Zahir, dengan majoriti 92 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











