BERITA SEMASA

Kiriman dodol, surat tulisan tangan warga emas sentuh hati TPM

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa terharu apabila menerima kiriman dodol tradisional bersama sepucuk surat tulisan tangan daripada seorang warga emas dari Perak.

Menurut beliau, daripada pelbagai juadah yang ditempah, kiriman tersebut paling menyentuh hatinya kerana keikhlasan yang tersirat di sebaliknya.

“Dalam banyak-banyak juadah yang saya order, ada satu yang benar-benar menyentuh hati saya. Saya menerima dodol bersama sekeping surat tulisan tangan,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Kiriman istimewa itu dihantar oleh Bakiah Omar, 89, yang lebih dikenali sebagai Chik Ah dari Chemor, Perak.

Difahamkan, beliau merupakan peserta FELCRA dan telah mengusahakan pembuatan dodol sejak tahun 1975.

“Dodol ini saya hasilkan secara tradisional menggunakan resipi lama yang telah saya amalkan sejak lebih 50 tahun.

“Semoga memenuhi citarasa Datuk Seri di petang hari sambil minum kopi O kampung,” tulis Chik Ah.

Dalam pada itu, Zahid turut mendoakan agar Chik Ah terus dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang supaya lebih ramai dapat menikmati keenakan dodol tradisional hasil air tangannya.

“Semoga Chik Ah terus diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan, agar lebih ramai dapat merasai dodol tradisional yang dihasilkan dengan penuh kasih ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button