KK Supermart buat laporan polis terhadap pengeluar sandwich diragui halal
KUALA LUMPUR – Pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd. (KK Supermart) sudah membuat membuat laporan polis terhadap syarikat pengeluar produk sandwich yang diragui kesahihan halalnya, Shake And Bake Café Sdn. Bhd. (Shake And Bake Café).
Menurut KK Supermart dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya juga telah mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari 2025 kepada Shake And Bake Café.
“Untuk makluman semua pihak, produk ‘sandwich’ ini dikilangkan dan diusahakan oleh syarikat Shake And Bake Café. Produk ini dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan, antaranya adalah di rangkaian KK Concept Store.
“Penjelasan daripada kami adalah, pihak Shake And Bake Café telah mengemukakan sijil halal bagi ‘chicken ham’ (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. Tulisan dipamerkan pada bungkusan roti ‘sandwich’ tersebut serta penulisan perkataan ini adalah daripada pihak Shake And Bake Café,” kata kenyataan itu, hari ini.
Tambahnya, produk tersebut dipasarkan di 16 KK Concept Store, dan berikutan isu yang timbul, pihaknya telah membekukan urusan perniagaan bersama Shake And Bake Café dengan serta-merta.
Katanya, ia termasuk menghentikan segala pemprosesan produk itu daripada kemasukan ke mana-mana outlet KK Concept Store dalam tempoh siasatan kes tersebut.
“Kami difahamkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas kilang Shake And Bake Café di Sunway Damansara, Petaling Jaya.
“Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, kerjasama penuh akan diberikan dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan kami,” kata kenyataan itu lagi sambil menambah, KK Supermart memandang serius perkara tersebut dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











