Kesedaran saringan awal barah payudara perlu dipertingkat – Dr Dzulkefly
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mahu tahap kesedaran wanita terhadap kepentingan menjalani saringan awal bagi mencegah barah payudara terus dipertingkat, walaupun kini berada pada kadar 7 daripada 10 individu di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun angka itu menunjukkan perkembangan positif, masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai wanita mengambil langkah pencegahan awal.
Justeru, beliau berkata, KKM akan memperluaskan pelaksanaan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan bagi membantu lebih ramai wanita memahami kepentingan melakukan saringan awal.
“Skor 7 daripada 10 menunjukkan tahap kesedaran wanita hari ini, dan kita akan terus berusaha untuk memperbaikinya bagi mencapai prestasi yang lebih baik. Walaupun angka itu agak baik, saya masih belum berpuas hati.
“Sebab itu, kegiatan saringan dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan ini akan diperluaskan termasuk bagi saringan barah payudara,” katanya ketika ditemui pada program Larian Pink Ribbon di Dataran Wawasan, di sini, hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Menurut Dr Dzulkefly, KKM menyasarkan seramai 20,000 wanita menjalani saringan awal barah payudara dari Oktober hingga Disember tahun ini dan setakat semalam, sebanyak 19,678 wanita telah menjalani pemeriksaan berkenaan.
Beliau menjelaskan, kebanyakan pesakit barah payudara hanya mendapatkan rawatan selepas penyakit dikesan pada peringkat lewat, iaitu tahap tiga dan empat, sekali gus mengurangkan peluang untuk terus hidup.
“KKM menegaskan semangat solidariti dan setiakawan yang ditonjolkan dalam bulan kesedaran barah payudara ini perlu diteruskan. Kita mahu semangat ini dihayati dan dibudayakan bagi menyampaikan mesej kepada wanita agar peka serta mengambil langkah awal menjalani saringan payudara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






