BERITA SEMASA

KKR jadi ‘single authority’ urus iklan rizab Jalan Persekutuan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) memperkenalkan hala tuju baharu pengurusan struktur paparan iklan dalam rizab Jalan Persekutuan menerusi pendekatan lebih terselaras, cepat dan mesra industri bermula 1 Mei lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi pendekatan baharu itu, KKR akan bertindak sebagai pihak berkuasa tunggal atau single authority bagi pengurusan struktur paparan iklan di kawasan rizab Jalan Persekutuan.

Menurut beliau, langkah itu dilaksanakan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan pelaksanaan Seksyen 85A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hala tuju baharu ini akan menyelaraskan proses permohonan, semakan dan kelulusan dengan lebih teratur, cepat serta seragam di seluruh negara.

“Bagi kawasan rizab Jalan Persekutuan, permohonan tidak lagi perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya akan diselaraskan secara berpusat melalui KKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus julung kali KKR bersama pemain industri pengiklanan luar yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid.

papan iklan
Alexander bergambar bersama para peserta sesi libat urus tersebut.

Menurut Alexander, antara isu utama yang sering dibangkitkan pemain industri sebelum ini ialah kerenah birokrasi membabitkan pelbagai agensi termasuk PBT sehingga menyebabkan proses permohonan menjadi panjang dan meningkatkan kos pematuhan.

Katanya, pendekatan baharu itu merupakan sebahagian reformasi kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mewujudkan persekitaran perniagaan lebih mesra pelabur dan industri.

“Ia juga bertujuan memudah cara urusan perniagaan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan kepada pemain industri,” katanya.

Beliau berkata, industri pengiklanan luar kini memainkan peranan penting dalam merangsang aktiviti perdagangan, menarik pelaburan serta memperkukuh keyakinan terhadap landskap ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, aspek keselamatan pengguna jalan raya tetap menjadi keutamaan dan semua struktur paparan iklan perlu mematuhi syarat keselamatan serta kandungan yang ditetapkan.

Menurut beliau, KKR juga akan memperhalusi garis panduan baharu berasaskan prinsip co-regulation dan self-declaration bagi memastikan keseimbangan antara fleksibiliti industri dan kawal selia kerajaan.

Tambahnya, sesi libat urus itu turut menjadi platform bagi kementerian mendapatkan pandangan serta maklum balas pemain industri supaya dasar yang dilaksanakan lebih praktikal dan menyeluruh.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah wakil daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button