KPDN Kedah sita 288kg minyak masak disimpan secara tidak sah di Baling
ALOR SETAR – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 288 kilogram (kg) minyak masak paket yang disimpan secara tidak sah di sebuah rumah di Kampung Sungai Limau, Baling di sini.
Menerusi serbuan yang dilakukan oleh sepasukan empat pegawai penguat kuasa pada pukul 11 pagi, Ahad lalu, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun didapati gagal mengemukakan permit untuk menyimpan minyak masak.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan selama seminggu susulan aduan diterima pihaknya.
Menurut beliau, premis kediaman terbabit didapati menjalankan aktiviti memproses makanan ringan tempatan dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah minyak masak yang dipercayai digunakan untuk tujuan menggoreng kerepek.
“Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku pemilik premis itu gagal mengemukakan permit atau kebenaran pengawal bekalan bagi tujuan menyimpan minyak masak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 288 paket minyak masak yang diisi dalam polibeg satu kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan RM720 telah disita bagi tujuan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Sementara itu, KPDN Kedah mengajak pengguna, peniaga serta pihak industri untuk bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR (Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan) demi manfaat bersama.
Sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












