KPDN lancar Ops Kesan 6.0 mulai 1 Jun, bendung pencatutan
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 6.0 bermula 1 Jun hingga 31 Ogos depan bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang memberi kesan kepada harga barangan di negara ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah berikutan peningkatan kos bahan mentah, operasi dan perniagaan.
Menurut beliau, langkah proaktif itu diambil susulan jangkaan kesan berperingkat krisis bekalan global terhadap rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas.
“Langkah ini bertujuan memantau dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos untuk memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan akan menggunakan data yang dikumpul secara berkala sejak tercetusnya krisis di Asia Barat dengan pemeriksaan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan daripada pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong hingga peruncit.
“Antara sektor yang menjadi fokus ialah petrokimia termasuk pembungkusan, plastik dan baja pertanian, selain sektor pertanian yang melibatkan sayur-sayuran seperti sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah.
“Ops Kesan 6.0 turut memberi perhatian kepada sektor penternakan melibatkan makanan ayam, ayam standard dan telur ayam serta sektor pengangkutan khususnya caj penghantaran logistik,” katanya lagi.
Azman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi notis atau mengemukakan maklumat palsu kepada pihak berkuasa.
Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala kesalahan berikutnya boleh mencecah RM1 juta.
Bagi individu pula, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan berulang membawa hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












