KPDN gagalkan cubaan larikan 3,400 liter diesel, pemandu lori ditahan
KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya mematahkan cubaan seorang pemandu lori melarikan diri bersama 3,400 liter diesel bersubsidi dalam satu operasi awal pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan bersama sebuah lori yang telah diubah suai lengkap dengan tangki tambahan berkapasiti 6,000 liter.
Menurutnya, hasil pemantauan menerusi rondaan Op Tiris 4.0 mengesan sebuah lori jenis bonded dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak sekitar Pandamaran, di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa enam unit Intermediate Bulk Container (IBC), masing-masing berkapasiti 1,000 liter yang dipercayai berisi bahan api diesel.
“Badan lori turut diubah suai dengan pemasangan peralatan pemindahan bahan api seperti hos penyambung dan pam bermeter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai membuat pengisian minyak di beberapa stesen sekitar kawasan berkenaan berdasarkan resit pembelian yang ditemui.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi membawa atau memiliki diesel bersubsidi tersebut.
“Pihak stesen minyak turut diambil tindakan untuk disiasat di bawah peruntukan sama iaitu Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar Subperaturan 3(1) peraturan berkenaan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan melebihi RM100,000, manakala hasil rondaan berjaya menyelamatkan subsidi dianggarkan mencecah RM20,000 dalam kes ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KPDN Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan pembatalan atau penggantungan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) terhadap mana-mana pihak yang didapati menyeleweng bahan api berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp di talian 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, Hotline KPDN 1-800-886-800 atau portal e-aduan KPDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












