KPKT lulus RM10.4 juta bagi 35 projek pembangunan di Taiping
TAIPING – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM10.4 juta untuk melaksanakan 35 projek pembangunan infrastruktur dan naik taraf kemudahan di Taiping.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan di bawah Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 itu adalah sebahagian daripada Rolling Plan 5 (RPS) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

“Daripada jumlah ini, RM4.1 juta diperuntukkan khusus untuk lapan projek naik taraf infrastruktur di Bandar Taiping, termasuk pembaikan Pasar Am Kamunting, pemasangan CCTV, projek tebatan banjir, pencahayaan Pasar Taiping, serta pembinaan arena serbaguna,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pasar Taiping dan Pasar Siang Malam di sini, hari ini.
Selain itu, RM500,000 disalurkan untuk pembangunan landskap kawasan lapang di Tanjung Sungai Mas, RM2.21 juta bagi penyelenggaraan 22 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), dan RM3.57 juta untuk pembangunan infrastruktur serta pembinaan rumah baharu di Kampung Baru.
Kor Ming turut berkata, tahun lalu KPKT meluluskan beberapa projek besar di Taiping seperti Pemuliharaan Taman Tasik Taiping (RM10 juta), Pembangunan Taman Awam Kamunting (RM23.24 juta), Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Taiping (RM11.5 juta), menaik taraf Pasar Taiping (RM22.135 juta) dan pengindahan air pancut Taman Tasik (RM450,000).
“KPKT akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara lestari dan inklusif demi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












