KPM nafi lindungi pihak terlibat kes Zara Qairina, tidak kompromi buli
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan kononnya pihaknya cuba melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kes buli di sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam sebarang isu berkaitan salah laku disiplin, termasuk dalam kes kematian pelajar berusia 13 tahun, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang dikaitkan dengan insiden buli.
“Berkenaan dengan semua kes yang berlaku sama ada kes disiplin atau buli di sekolah, pihak KPM mempunyai garis panduan, yang berkuat kuasa dari masa ke masa.
“Dalam kes Zara Qairina, kita tahu bahawa perkembangan isu ini dalam siasatan polis dan KPM akan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.
“Cuma KPM menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana isu yang berkaitan buli.
“Kedua, KPM tidak dan tidak pernah pun cuba untuk melindungi sesiapa seperti dinyatakan. KPM telah dan bersedia bekerjasama dengan pihak polis untuk membantu siasatan kes yang terbabit,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (WARISAN–Semporna) yang menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes buli di sekolah, termasuk melibatkan kes Allahyarham Zara Qairina susulan pelbagai spekulasi telah timbul.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu meminta penjelasan daripada KPM bagi memastikan keselamatan pelajar terus dilindungi di kawasan sekolah.
“Saya harap ‘enforcement of law’ jangan lindungi mana-mana pihak terbabit, tak kira siapa dia. Kalau ia (buli) berlaku.
“Mungkin manusia tak nampak perbuatan itu, sama ada pihak berwajib di peringkat sekolah, pihak keselamatan dan lain-lain tetapi Allah SWT nampak perbuatan di muka bumi,” ujar Mohd. Shafie.
Pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












