KPT salur bantuan segera RM2,000 kepada waris mangsa nahas bas UPSI
IPOH – Bantuan segera berjumlah RM2,000 akan disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas ekspres di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, yang berlaku awal pagi tadi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, selain bantuan daripada KPT, pihak universiti juga akan menyediakan bantuan khas RM1,000 kepada setiap waris mangsa termasuk mereka yang cedera dalam kemalangan tersebut.
Menurut Zambry, pelbagai bentuk bantuan lain juga sedang disalurkan, termasuk bantuan pengebumian, perlindungan insurans, zakat dan kemalangan.
“Bantuan penginapan juga disediakan kepada waris yang hadir ke hospital dan semuanya diuruskan sepenuhnya oleh UPSI,” katanya selepas melawat jenazah 13 mangsa yang ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Baca juga : Sebahagian mangsa nahas bas UPSI masih kritikal
Dalam kejadian pukul 3.40 pagi tadi, 15 pelajar UPSI disahkan maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna.
Mengulas mengenai prosedur keselamatan dan garis panduan penyewaan bas oleh pelajar,
Zambry berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi aspek terbabit.
“Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai SOP atau menyalahkan mana-mana pihak. Kita serahkan kepada agensi berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












