Krisis bekalan global: KKDW jimat RM250 juta, turunkan sewa bantu usahawan
KUALA LUMPUR – Beberapa langkah proaktif diambil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama agensi di bawahnya dalam melaksanakan penjimatan perbelanjaan serta pengurangan kadar sewa premis perniagaan bagi membantu rakyat dan usahawan demi mendepani cabaran ekonomi semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha kerajaan dalam mendepani krisis bekalan global dan tekanan ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat.
Menurut beliau, KKDW telah merekodkan penjimatan sekurang-kurangnya RM250 juta hasil pelarasan perbelanjaan dan penyusunan semula program secara lebih efisien tanpa melibatkan dana projek pembangunan luar bandar.
“Penjimatan ini akan dipulangkan kepada Kementerian Kewangan bagi menyokong keperluan subsidi bahan api negara demi manfaat rakyat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Dalam pada itu, beberapa agensi di bawah KKDW turut melaksanakan pengurangan kadar sewa premis perniagaan bagi meringankan beban usahawan.
Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju menurunkan kadar sewa sehingga 20 peratus melibatkan 7,135 lot premis perniagaan di seluruh negara.
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pula menawarkan diskaun sehingga 20 peratus melibatkan lebih 400 lot premis termasuk kadar sewa serendah RM100 sebulan bagi membantu aliran tunai Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Selain itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melaksanakan pengurangan kadar sewa antara 10 hingga 20 peratus membabitkan 355 premis, manakala Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) turut bersetuju melaksanakan pengurangan sebanyak 20 peratus melibatkan 552 unit premis perniagaan.
Zahid berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen KKDW dalam memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat serta memastikan pembangunan ekonomi desa kekal mampan, inklusif dan berdaya tahan.
“Kerajaan akan terus komited memperluas inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan usahawan desa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












