BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kritikan media bukan ancaman tapi cerminan suara rakyat – Fadhlina Sidek

BANGI – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan beliau tidak pernah menganggap kritikan media sebagai satu ancaman kepada kementerian yang diterajuinya, sebaliknya melihat peranan media sebagai rakan strategik dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa meraikan peranan media serta mengalu-alukan kritikan yang membina dan berfakta dengan keterbukaan serta jiwa yang besar demi kepentingan rakyat.

“Kritikan yang berimbang dan berlandaskan fakta tidak pernah dianggap sebagai ancaman dalam hubungan antara kerajaan dan media yang bebas. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan KPM-Media, di sini, malam tadi.

Fadhlina menegaskan media memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu-isu pendidikan, termasuk membabitkan sekolah daif, beban tugas guru dan murid serta pelaksanaan peperiksaan, sekali gus membantu kerajaan memahami realiti yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.

“Macam mana tidak selesa pun kita dengan sesuatu laporan, ia sebenarnya adalah pantulan dan cerminan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat.

“Media bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan Putrajaya dengan ibu bapa di kampung, pedalaman dan kawasan bandar,” katanya.

Fadhlina Sidek bergambar bersama pengamal media di Majlis Jalinan KPM-Media, Bangi, malam tadi.

Menurut beliau, hubungan antara KPM dan media akan terus diperkukuh berteraskan kepentingan suara rakyat, selaras dengan agenda reformasi pendidikan yang menuntut keadilan dan ketelusan dalam pelaksanaan setiap dasar.

Pada majlis sama, Fadhlina turut menyatakan komitmen untuk melipatgandakan usaha bersama seluruh warga kementerian demi menjamin masa depan anak-anak bangsa.

Dalam pada itu, beliau merakamkan kesyukuran kerana masih diberi kepercayaan untuk meneruskan amanah sebagai anggota Jemaah Menteri susulan pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Kepercayaan Perdana Menteri itu akan saya manfaatkan sepenuhnya bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pendidikan dilaksanakan dengan lebih berkesan, berteraskan prinsip keadilan, kejujuran serta kepentingan terbaik murid, guru dan keseluruhan ekosistem pendidikan,” katanya.

Dalam pengumuman rombakan Kabinet hari ini, Fadhlina kekal sebagai Menteri Pendidikan dan terus dibantu oleh Wong Kah Woh sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim serta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button