BERITA SEMASA

Kru kapal Malaysia harungi detik cemas di Selat Hormuz, sentiasa terbayang keluarga

KUALA LUMPUR – Berdepan situasi cemas termasuk bunyi letupan ketika melalui Selat Hormuz membuatkan kru kapal Malaysia bukan hanya memikirkan keselamatan diri, tetapi juga nasib keluarga di tanah air yang menanti kepulangan mereka.

Perkara itu dikongsi seorang kru yang hanya mahu dikenali sebagai Nazri.

Menurutnya, dia sentiasa memikirkan keluarga di kampung halaman di Johor.

Walaupun setakat ini, dia belum pernah terperangkap secara langsung dalam sebarang insiden, bayangan serangan dron, peluru berpandu dan letupan yang menyasarkan kapal lain di selat itu menjadi kebimbangan berterusan.

“Kadang-kadang laut kelihatan tenang, tetapi kami tahu bahaya boleh datang pada bila-bila masa.

“Apa yang paling merisaukan saya adalah keluarga di rumah yang sentiasa menunggu khabar berita,” katanya memetik laporan Metro Online.

Nazri berkata, protokol keselamatan di atas kapal yang melalui selat itu diperketat dengan ketara sejak konflik di rantau berkenaan memuncak susulan serangan Israel-Amerika Syarikat terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Ia termasuk pihak kapal sentiasa memastikan ibu pejabat dan pihak berkuasa dimaklumkan mengenai sebarang ancaman.

“Dalam sektor maritim, terdapat tiga tahap keselamatan. Jika mencapai tahap tiga, kapal tidak boleh memasuki selat secara terus. Namun, tahap ini biasanya tidak kekal lama,” jelasnya.

Tambahnya, setiap kapal turut dilengkapi sistem kecemasan yang membolehkan pangkalan operasi serta pihak berkuasa berkaitan dimaklumkan segera sekiranya berlaku ancaman, selain pemantauan keselamatan dilakukan secara berterusan bagi memastikan tindak balas pantas.

Meskipun berdepan risiko melibatkan ancaman nyawa, Nazri mengakui tidak menyesal memilih kerjaya sebagai kru kapal.

Perkara itu tegasnya menyebabkan dia lebih menghargai masa bersama keluarga tercinta.

“Ini pilihan saya, tetapi setiap kali melalui Selat Hormuz, saya hanya berharap dapat kembali dengan selamat untuk bersama keluarga,” katanya.

Selat Hormuz merupakan laluan minyak paling kritikal di dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman.

Dianggarkan sekitar 20 hingga 30 peratus penggunaan minyak global melalui laluan sempit ini setiap hari, menjadikannya nadi penting kepada keselamatan tenaga dan ekonomi dunia.

Krisis itu yang membawa kepada kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyaksikan tindak balas Iran melalui serangan ke atas Israel serta pangkalan tentera AS dan infrastruktur tenaga di seluruh negara Teluk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button