BERITA SEMASA

Kunjungan Xi Jinping : Kerajaan pastikan semua MoU dilaksana segera

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan kesemua 31 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysia dan China sempena lawatan Presiden Xi Jinping ke negara ini baru-baru ini, dilaksanakan segera.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini, yang turut memutuskan supaya Kementerian Luar Negeri dilantik sebagai agensi penyelaras utama bagi pelaksanaan MoU berkenaan.

“Ini merupakan antara hasil penting daripada lawatan Presiden China ke Malaysia.

“Kesemua MoU ini mencerminkan komitmen dua hala yang kukuh dan memberi manfaat kepada pelbagai sektor strategik negara,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat hari ini.

Antara inisiatif awal yang dikenal pasti ialah cadangan pembentukan Twin Hub antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou di Henan, China.

Jelasnya, perbincangan awal mengenai projek tersebut telah berlangsung sejak beberapa hari lalu, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini.

“Pelaksanaan segera MoU ini akan memperkukuh hubungan dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan serta pembangunan teknologi antara Malaysia dan China,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap kementerian yang terlibat perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan perjanjian yang dimeterai memberi manfaat kepada rakyat dalam masa terdekat.

Lawatan Presiden Xi ke Malaysia disifatkan sebagai bersejarah sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, sekali gus menjadi pemangkin kepada era baharu kerjasama dua hala.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button