BERITA SEMASA

Lapan rumah musnah, 30 tangki LPG meletup dalam kebakaran

KOTA BHARU – Insiden kebakaran lapan buah rumah di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh, di sini malam tadi turut menyebabkan 30 tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di salah sebuah kediaman tersebut meletup.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd. Farid Ismail bagaimanapun berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Beliau memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, lima buah rumah hangus 100 peratus, manakala tiga lagi terbakar 10 peratus.

Turut musnah, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang diletakkan di bawah garaj berhampiran lokasi kejadian.

Tambahnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.55 malam sebelum 34 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Operasi memadam kebakaran agak sukar kerana struktur rumah sangat padat dan jaraknya kira-kira semeter antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke lima lagi rumah yang berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Mohd. Farid memberitahu, kebanyakan penghuni tidak berada di rumah ketika kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Operasi memadam kebakaran selesai kira-kira pukul 12 tengah malam. Punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button