Lawatan Presiden Brazil perkukuh kerjasama ekonomi, teknologi Malaysia–Brazil
PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva ke Malaysia membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala kedua-dua negara yang berteraskan keadilan ekonomi, kemakmuran sejagat dan kerjasama Selatan–Selatan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu menjadi pembuka tirai kepada rangkaian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan serta menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan teknologi.

“Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak kembali memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2023 yang memperkukuhkan hubungan erat dua negara yang berkongsi aspirasi sama dalam memperjuangkan keadilan ekonomi dan kemakmuran sejagat,” katanya pada taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Tambahnya, hubungan itu turut diperkukuh sejak Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro Julai lalu, yang mana Malaysia terus membawa suara tegas bagi negara-negara Selatan iaitu memperjuangkan sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih adil, seimbang dan mampan.
“Pertemuan hari ini bakal memperkukuh komitmen kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang. Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global.
“Lawatan ini juga mencerminkan keyakinan dan keakraban hubungan Malaysia–Brazil berteraskan semangat saling hormat dan usaha bersama memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan demi manfaat kolektif kedua-dua negara dan rantau,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












