JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditahan, arah anak 10 tahun curi barangan pasar raya

JEMPOL – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mengarahkan serta memaksa anak lelakinya yang berusia 10 tahun melakukan perbuatan mencuri di beberapa premis perniagaan sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan R Premkumar berkata, perbuatan itu terbongkar susulan laporan kecurian terbaharu yang dibuat oleh penyelia sebuah pasar raya di Bahau semalam.

Menurutnya, kejadian pada pukul 11.45 pagi itu melibatkan kanak-kanak yang didapati mencuri satu paket Nescafe seberat 200 gram atas arahan bapa kandungnya yang berusia 34 tahun.

“Penyelia pasar raya terbabit telah tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau.

“Suspek yang merupakan bapa kandung mangsa dan tidak bekerja telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek sering mengarahkan serta memaksa anak sulungnya mencuri barangan keperluan harian seperti Milo dan lain-lain di beberapa premis perniagaan sekitar Bahau dan Batu Kikir sebelum ini.

“Sekiranya mangsa enggan menuruti arahan, suspek akan memarahi serta mengugut untuk mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak tersebut.

“Ekoran perbuatan itu, mangsa dipercayai mengalami penderaan emosi dan penganiayaan oleh bapa kandung sendiri dengan tujuan memaksanya melakukan perbuatan jenayah,” katanya.

Premkumar berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selain satu rekod dikehendaki polis pada tahun 2021.

Menurutnya buat masa ini, kanak-kanak berkenaan telah diserahkan kepada ibu kandungnya manakala suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Bahau hari ini untuk siasatan lanjut.

“Dua kertas siasatan dibuka secara selari iaitu di bawah Seksyen 380/109 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial memaparkan insiden kecurian berkenaan yang menunjukkan suspek bersama anaknya berada di luar premis perniagaan terbabit di Bahau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button