Lelaki menang kes saman hospital, terima pampasan RM7.4 juta
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM7.4 juta kepada seorang lelaki yang cacat kekal akibat kecuaian perubatan di sebuah hospital kerajaan enam tahun lalu.
Dalam keputusan itu, Hakim Su Tiang Joo memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta kepada plaintif, K. Vimal Raj, 22, bagi pembelian satu lengan robotik dan dua kaki robotik, manakala selebihnya merangkumi RM213,000 untuk kesakitan dan penderitaan, RM180,000 bagi penjagaan di rumah, RM20,000 sebagai ganti rugi teruk serta RM200,000 bagi kos guaman.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan kehilangan pendapatan yang dikemukakan oleh bapa Vimal, J. Krishnasamy, 51, atas alasan tiada bukti dokumentari dikemukakan bagi menyokong tuntutan itu.
Ganti rugi tersebut adalah hasil penilaian selepas kerajaan mengakui liabiliti kecuaian, sementara tuntutan terhadap hospital dan tiga doktor terbabit ditarik balik.
Menurut laporan Free Malaysia Today, prosiding penilaian ganti rugi menyaksikan pihak plaintif mengemukakan 11 saksi pakar berbanding empat saksi dari pihak kerajaan.
Vimal, yang kini berusia 22 tahun, menjadi cacat kekal selepas beberapa siri pembedahan pada tahun 2019 yang mengakibatkan pemotongan tangan kiri di bawah siku, kaki kanan di bawah lutut, serta tumit dan jari kaki kiri.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Vimal dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Januari 2019 selepas mengalami radang pada bahagian kemaluan dan didiagnosis sebagai ‘balanitis’, keadaan yang boleh dirawat. Namun, dia dibenarkan keluar hanya dua hari kemudian walaupun belum pulih sepenuhnya.
Beberapa hari selepas itu, Vimal dilaporkan hilang kesedaran di rumah dan dibawa semula ke hospital untuk rawatan kecemasan sebelum koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 23 Januari.
Krishnasamy mendakwa beliau diminta menandatangani satu borang kebenaran rawatan tanpa sebarang penjelasan mengenai risiko atau prosedur yang akan dilakukan terhadap anaknya.
Keesokan harinya, beliau mendapati jari kaki dan tangan anaknya menjadi hitam serta membengkak, namun tidak menerima sebarang maklumat jelas daripada pihak hospital berhubung keadaan sebenar Vimal yang semakin kritikal.
Antara Mac hingga November 2019, Vimal menjalani beberapa pembedahan yang akhirnya menyebabkan pemotongan beberapa anggota badannya.
Dalam kenyataan tuntutan itu juga, Krishnasamy, bekas pemandu lori, memaklumkan beliau terpaksa berhenti kerja bagi menjaga anaknya sepenuh masa, sementara isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menjadi satu-satunya penyumbang pendapatan keluarga.
Vimal kemudiannya dimasukkan sebagai plaintif utama dalam kes tersebut selepas mencapai usia 18 tahun.
Kes itu dikendalikan oleh pasukan guaman yang diketuai Brijnandan Singh Bhar, manakala kerajaan diwakili Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












