Letupan paip gas: Mangsa kongsi pengalaman cemas
SUBANG JAYA – Salah seorang mangsa yang terlibat dalam insiden letupan, berdepan detik cemas ketika cuba menyelamatkan diri dan ahli keluarganya.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nazmi berkata, dalam kejadian sekitar pukul 8.30 pagi itu, dia bersama isteri, ibu mertua dan anaknya berada di luar rumah, kira-kira 100 meter dari lokasi letupan.
Mereka terdengar bunyi letupan kuat diikuti dengan percikan tanah serta api yang sedang marak.
“Ibu mertua saya yang sudah lama menetap di sini segera menyedari bahawa letupan itu berpunca daripada gas. Kami semua panik dan cuba mencari jalan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nazmi turut menceritakan bagaimana letupan kedua menyebabkan kenderaan miliknya mula berasap akibat bahang yang terlalu panas.
Pada mulanya, dia berhasrat untuk melarikan diri menggunakan kereta tetapi membatalkan niat apabila keadaan semakin membahayakan.
“Saya tidak dapat mengira jumlah sebenar kerugian kerana terlalu banyak harta benda yang musnah dalam kejadian ini,” tambahnya.
Kejadian itu katanya memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada dia dan keluarganya, tetapi juga kepada penduduk sekitar.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan langkah-langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












