
Lima kereta, 17 motosikal musnah terbakar
BATU PAHAT – Sebanyak lima buah kereta dan 17 motosikal milik penduduk hangus dalam satu kebakaran di Jalan 57, Taman Bukit Perdana, di sini semalam.
Lima kereta yang musnah akibat kebakaran sekitar pukul 4.30 petang itu membabitkan kereta jenis Naza Ria, Toyota Estima, Proton Waja, Honda Ferio dan Perodua Alza
Seorang penduduk, Hasanuman Idris, 60, berkata, kejadian tersebut berlaku semasa dia sedang berniaga di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dekat Parit Raja sebelum dimaklumkan jiran mengenainya melalui panggilan telefon.
“Apabila jiran hantar gambar (garaj saya yang terbakar), saya terduduk seketika. Bayangkan di garaj itu saya bukan sahaja parkir kereta dan motosikal, tetapi juga menyimpan barang niaga namun semuanya musnah sama sekali.
“Ada dua kereta sempat anak saya selamatkan jika tidak, habis semua kenderaan saya terbakar. Allah nak uji saya kali ini, namun saya reda dan percaya ada hikmah di sebaliknya,” katanya memetik laporan BH.
Jelas Hasanuman, kerugian didakwa beranggaran sehingga RM20,000 selepas motosikal jenis Honda Fario miliknya selain tiga motosikal jenis Yamaha 125z, Yamaha 100 dan Modenas Kriss turut dijilat api.
Dalam pada itu, beberapa penduduk taman telah cuba membantu memadamkan api namun gagal kerana ia merebak ke kenderaan berdekatan, jelas seorang pesara tentera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Ayub Majid berkata, seramai 19 anggota termasuk dari BBP Penggaram dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera.
Tambah Ayub, pihaknya turut dibantu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM).
“Api dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian namun punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












