Lima maut dalam insiden tembakan di sebuah masjid di San Diego
SAN DIEGO – Sekurang-kurangnya lima individu maut dalam insiden tembakan di sebuah masjid di California, di sini termasuk dua suspek remaja yang dipercayai menembak diri sendiri selepas serangan itu.
Menurut laporan BBC News, polis memaklumkan, tiga lagi mangsa yang maut ialah individu dewasa yang berada di Islamic Center of San Diego ketika kejadian berlaku.
Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata, kedua-dua suspek dipercayai berusia 17 dan 19 tahun, manakala siasatan awal mendapati mereka meninggal dunia akibat kecederaan tembakan yang dilakukan sendiri.
Tambah beliau, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dipanggil untuk membantu siasatan insiden itu, yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai jenayah kebencian, walaupun tiada motif keganasan senjata api dicadangkan.
“Tiada anggota polis melepaskan tembakan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan insiden itu ‘situasi yang dahsyat’.
“Saya sudah menerima beberapa laporan awal dan kami akan melihat perkara ini dengan sangat serius,” katanya.
Serangan tersebut berlaku seminggu sebelum cuti perayaan di mana umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.
Pengarah Islamic Centre of San Diego, Imam Taha Hassane berkata, komuniti masjid berkenaan tidak pernah melalui tragedi seumpama itu sebelum ini.
“Amat melampau apabila rumah ibadat menjadi sasaran,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada masyarakat dari seluruh negara dan luar negara yang menghubungi pihak masjid untuk menyampaikan ucapan takziah dan menawarkan bantuan.
Dalam perkembangan sama, polis mengesahkan salah seorang mangsa yang maut merupakan pengawal keselamatan yang bertugas di pusat Islam itu.
Seorang pekerja landskap berhampiran turut dilaporkan ditembak, namun tidak mengalami kecederaan.
Datuk Bandar Todd Gloria pula dilaporkan berkata, beliau bersyukur kerana kanak-kanak yang sedang mengikuti kelas di sekolah dalam kawasan pusat Islam itu terselamat.
“Kepada komuniti Muslim tempatan, doa saya bersama anda,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa semua sumber akan digunakan bagi memastikan keselamatan komuniti Muslim di bandar itu terus terpelihara daripada sebarang bentuk keganasan.
“Kebencian tiada tempat di bandar San Diego,” tegasnya.
Al Rashid School yang terletak dalam kawasan pusat Islam tersebut menawarkan kelas hujung minggu melibatkan bahasa Arab, pengajian Islam dan al-Quran kepada kanak-kanak Muslim seawal usia lima tahun.
Sekolah itu turut menjalankan pelbagai program kekeluargaan dan belia serta sering menjadi lokasi aktiviti pendidikan, keagamaan dan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












