BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lima termasuk bayi maut kereta rempuh paip

SERIAN – Seorang bayi perempuan antara lima individu yang maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan tanpa melibatkan kenderaan lain di Jalan Baki Lama-Ensengei di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh batang paip air di tepi jalan.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.41 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba pada pukul 9.04 pagi, pasukan penyelamat mendapati sebuah kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran tersebut.

“Empat mangsa dewasa didapati tersepit di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mereka dijalankan menggunakan peralatan khas.

“Seorang bayi perempuan pula ditemukan orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar ketika kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.51 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button