Maafkan saya rakyat Malaysia, terima kasih semua – Jaslinda
GERIK – Pendaki wanita yang ditemui selamat selepas lebih 10 hari hilang di kawasan hutan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dipercayai berkait dengan kesulitan dan kebimbangan yang terpaksa ditanggung sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Dalam kenyataan ringkas sebaik ditemui, Jaslinda, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sebelum memohon maaf atas insiden yang berlaku.
“Terima kasih, minta maaf rakyat Malaysia,” kata Jaslinda dalam video penemuannya yang tular petang ini.
Dia dirakam ketika menerima rawatan awal di dalam ambulans Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kampung Lubuk Gaharu, di sini.
Jaslinda ditemui selamat di perkampungan Orang Asli Lubuk Gaharu di Pos Musoh hari ini selepas dilaporkan hilang sejak 25 Mei lalu ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih.
Menerusi rakaman video itu, beliau memaklumkan telah membuat keputusan untuk turun sendiri dari puncak Gunung Batu Putih kerana tidak mahu berada terlalu lama di kawasan tersebut.
Menurutnya, sebelum memulakan pendakian ke puncak gunung berkenaan, beliau telah memaklumkan hasrat itu kepada individu yang dipercayai malim gunung yang berada bersamanya.
Kehilangannya sebelum ini mencetuskan perhatian seluruh negara apabila operasi SAR berskala besar digerakkan melibatkan pelbagai agensi keselamatan, penyelamat dan sukarelawan.
Malah, insiden itu turut mengundang kritikan segelintir pihak di media sosial yang mendakwa tindakannya bergerak secara bersendirian ketika pendakian telah meningkatkan risiko kemalangan selain menyukarkan usaha mengesannya apabila dilaporkan hilang.
Terdapat juga pihak yang mempersoalkan keputusan beliau untuk berpisah daripada kumpulan utama, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai aspek keselamatan dan pematuhan prosedur dalam aktiviti pendakian.
Operasi SAR diaktifkan pada 25 Mei lalu selepas Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi tersebut bersama 13 pendaki lain serta dua malim gunung.
Penemuan beliau dalam keadaan selamat hari ini sekali gus menamatkan penantian keluarga dan semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian yang mendapat perhatian meluas masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











