JENAYAH & MAHKAMAH

Main mercun bola: Lelaki ditahan, beberapa individu cedera

PENDANG – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki bermain mercun bola sehingga menyebabkan beberapa individu mengalami kecederaan dalam kejadian di Tobiar, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pendang, Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 10 pagi Isnin sebelum bertindak menahan suspek.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang hasil risikan yang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 20 Mac lalu ketika suspek bersama enam ahli keluarga lain bermain mercun bola sempena sambutan Aidilfitri.

“Bagaimanapun, mercun tersebut dipercayai termasuk ke dalam plastik berisi mercun bola sebelum meletup dan mencederakan individu yang berada berhampiran,” memetik BuletinTv3 online.

Beliau berkata, semua mangsa termasuk suspek mengalami kecederaan pada muka dan badan, namun dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pendang.

“Seorang mangsa bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan lanjut susulan kecederaan serius pada bahagian mata,” katanya lagi.

Menurut beliau, suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menggunakan bahan letupan terutama sepanjang musim perayaan, selain memantau aktiviti kanak-kanak bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Kes berkenaan turut menjadi peringatan kepada masyarakat mengenai bahaya penggunaan mercun tanpa kawalan yang boleh mengundang kecederaan serius.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button