Malaysia terajui ASEAN dalam penerokaan teknologi 5G Broadcast
PUTRAJAYA – Malaysia tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi apabila kini di barisan hadapan dalam penerokaan teknologi Penyiaran 5G (5G Broadcast) di rantau ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, antara langkah yang telah diambil termasuk menerusi ujian test-bed yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Jelas beliau, ujian memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu perkhidmatan penyiaran, sistem amaran kecemasan serta pengumuman awam, dan penyiaran acara sukan serta hiburan.
Beliau berkata, ujian itu bertujuan menilai kesan teknologi tersebut terhadap masa depan televisyen dan radio negara, meneliti aspek teknikal, selain mengemukakan cadangan kawal selia yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi serta industri.
“Isu yang kita uruskan melalui MCMC adalah dari segi aspek teknikal untuk membolehkan teknologi ini digunakan tanpa mendatangkan gangguan kepada mode-mode penyiaran yang lain ataupun perkhidmatan telekomunikasi yang sedia ada,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan 5G Broadcast anjuran MCMC di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa 5G Broadcast ialah teknologi penyiaran generasi baharu yang membolehkan kandungan televisyen dan radio dihantar terus ke peranti tanpa memerlukan kad SIM, pelan data mudah alih atau Wi-Fi.
Katanya, teknologi tersebut dibangunkan berasaskan 5G Terrestrial Broadcast berasaskan LTE yang direka khusus untuk penyiaran kandungan secara terestrial dan boleh beroperasi dalam mod siaran kendiri.
“5G Broadcast membolehkan penyampaian kandungan langsung berkualiti tinggi kepada semua, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sama ada di kawasan bandar sesak atau di pedalaman tanpa gangguan.
“Selain hiburan, ia turut meningkatkan keselamatan awam dengan membolehkan amaran kecemasan serta pengumuman penting dihantar terus ke telefon mudah alih.
“Di stadium sukan dan lokasi hiburan pula, teknologi ini memberi pengalaman lebih interaktif dengan membolehkan penonton memilih sudut kamera, menonton kandungan eksklusif di sebalik tabir serta menerima kemas kini secara langsung menerusi penstriman lancar tanpa gangguan,” katanya.
Fahmi berkata, sistem itu tidak bergantung pada rangkaian mudah alih, sebaliknya menggunakan infrastruktur penyiaran televisyen sedia ada yang membolehkan sesuatu program disiarkan secara meluas tanpa gangguan.
Katanya, selain merevolusikan pengalaman menonton, teknologi ini juga membuka peluang baharu kepada industri penyiaran untuk menjangkau lebih ramai rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, peranti mudah alih seperti telefon pintar perlu dilengkapi cipset yang menyokong fungsi 5G Broadcast, dan pada masa ini hanya sebahagian jenama mula mengintegrasikan teknologi berkenaan.
Fahmi berkata, teknologi itu masih belum dilancarkan secara komersial di peringkat global, namun beberapa negara Eropah seperti Jerman, Perancis, Itali dan Austria telah menjalankan ujian percubaan.
“Kami mengikuti dengan rapat perkembangan ujian tersebut dan melihat potensinya dengan penuh minat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












One Comment