Malaysia kenal pasti AS sumber utama kemasukan e-sisa haram
KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) dikenal pasti sebagai penyumbang utama sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) yang diseludup ke negara ini.
Perkara itu didedahkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut berkata, ini membabitkan 88 peratus daripada e-sisa yang diseludup ke negara ini.
Selain itu katanya, Kanada, England, Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Jepun turut menyumbang kepada peratusan e-sisa yang diseludup ke negara ini.
“Berdasarkan rekod, 951 daripada 1,414 kontena ditahan dan diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) antara 2021 hingga tahun lalu, mengandungi e-sisa.
“Daripada jumlah ini, 365 kontena sudah dihantar pulang ke negara asal, selaras prosedur di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Pelupusannya,” katanya.
Johari berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Negara bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri SV Vell Paari mengenai langkah membanteras penyeludupan e-sisa dan diproses di negara ini serta negara asal lambakan bahan itu, sama ada dari AS, United Kingdom, China atau Jepun.
Johari kemudiannya berkata, kementerian turut mengambil langkah tegas dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan e-sisa ke negara ini dengan mengarahkan syarikat pengimport yang membawa masuk e-sisa secara haram untuk menghantar semula ke negara asal.
Selain itu, katanya, memperkukuh mekanisme penguatkuasaan dan meningkatkan kerjasama semua agensi terbabit di pelabuhan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa pelabuhan dan JAS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











