BERITA SEMASA

Malaysia-Korea Selatan tubuh Jawatankuasa Kerja Bersama fokus gerakkan MoU pendidikan tinggi

RIYADH – Kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Korea Selatan diperkukuh menerusi persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di peringkat pegawai kementerian bagi kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, jawatankuasa tersebut akan menggerakkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini.

“Persetujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi juga turut dicapai termasuk pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah.

“Kerjasama sama lain termasuk penglibatan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Politeknik serta Kolej Komuniti dalam kolaborasi teknikal, dan penglibatan syarikat multinasional Korea dalam pelaksanaan program ‘Work-based Learning’ (WBL) di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Zambry berkata, perkara itu dipersetujui dalam pertemuan dua hala antara beliau dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Korea Selatan, TYT Dr. Lee Ju-ho semasa edisi kedua Persidangan Antarabangsa Human Capability Initiative (HCI 2025) yang berlangsung pada 13 hingga 14 April lalu di Riyadh, Arab Saudi.

Beliau berkata, pertemuan itu bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan dan sebagai menyusuli lawatan rasmi perdana menteri ke negara tersebut pada November tahun lalu.

Mengulas mengenai HCI 2025, Zambry berkata, beliau hadir sebagai panelis forum buat kali kedua atas jemputan rasmi Kerajaan Arab Saudi yang berlangsung di bawah naungan Perdana Menteri Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Mahkota Muhammad Salman, bertemakan “Beyond Readiness”.

Menerusi forum itu, Zambry berkata, beliau telah berkongsi mengenai 10 ‘shifts’ yang akan lakukan KPT dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang turut melibatkan beberapa perkara tentang kecerdasan buatan (AI).

“Kita juga memperkenalkan konsep ‘unbundling’ iaitu pemecahan struktur program akademik kepada komponen kecil seperti ‘micro-credentials’, kursus individu, modul pembelajaran, latihan industri dan projek.

“Ini sesuatu yang mungkin baharu dan boleh diperkongsikan dengan negara-negara lain agar pelajar diberi lebih fleksibel dan pilihan terbuka dengan kursus yang mereka ambil,” katanya.

Dengan penyertaan lebih 300 jurucakap dari lebih 100 negara serta kehadiran lebih 12,000 peserta, HCI 2025 menjadi medan penting untuk Malaysia terus memperkukuh jaringan antarabangsa serta memperlihatkan usaha serius negara dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang mampan, inovatif dan berdaya saing global.

Selain itu, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam Pembangunan Keupayaan Insan, Zambry turut menyertai sesi Perbincangan Meja Bulat Menteri yang menghimpunkan menteri-menteri pendidikan tinggi dari lebih 20 buah negara.

Sesi itu dipengerusikan oleh Profesor Fernando Reimers, Pengarah Global Education Innovation Initiative dari Universiti Harvard.

Dalam sesi tersebut, Zambry telah berkongsi beberapa inisiatif utama Malaysia dalam mendepani era AI, antaranya pelaksanaan program pembelajaran dalam talian ‘AI untuk Rakyat’, penubuhan fakulti AI pertama negara dan pembentukan Konsortium AI yang menyatukan kepakaran universiti-universiti tempatan.

“Saya turut menekankan pentingnya nilai etika dan kemanusiaan dikekalkan dalam kemajuan teknologi agar pembangunan yang berlaku bersifat seimbang dan inklusif,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zambry turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi, TYT Dr. Yousef Abdullah Al-Benyan bagi membincangkan kolaborasi antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Perbincangan itu meliputi program perkongsian tenaga mahir dan teknologi terkini dalam bidang pendidikan tinggi selain daripada model pengurusan universiti yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button