BERITA SEMASA

Malaysia sedia hantar satu batalion jadi tentera pengaman di Gaza

PETALING JAYA – Malaysia sedia menggerakkan anggota tenteranya sebagai pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diberi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesediaan menghantar satu batalion itu sudah dimaklumkan sejak awal melalui penyertaan Malaysia dalam mesyuarat menteri-menteri pertahanan negara yang mempunyai pasukan pengaman di bawah naungan PBB.

“Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza. Kita memang dah dapat satu batalion. Masa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang ada pasukan pengaman dan kita bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), di sini hari ini.

Mohamed Khaled menambah, Malaysia sememangnya mempunyai hasrat yang tulus untuk menyumbang kepada keamanan serta bantuan kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

“Memang kita niat pun nak berada, nak bantu di sana. Tapi kita tunggu kepada keputusan PBB dan Majlis Keselamatan PBB untuk buat keputusan.

“Kalau dia kata Malaysia dipilih untuk menghantar, kita bersedia dengan satu batalion,” katanya lagi.

Ketika ditanya adakah batalion yang telah bersedia itu merupakan pasukan yang sama ke Lubnan, Mohamed Khaled berkata, pasukan yang akan dihantar bukan daripada kontinjen yang sedang bertugas di luar negara ketika ini.

“Batalion yang kita siapkan bukan yang sedang berkhidmat di (Lubnan). Setiap tahun kita panggil mereka balik dan ini (pasukan pengaman ke Gaza) adalah batalion lain,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza sekiranya PBB memutuskan untuk menubuhkan misi antarabangsa bagi mengurangkan ketegangan dan membantu rakyat Palestin.

Anwar berkata, perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button