Malaysia zahir solidariti kepada Turkiye, seru redakan ketegangan Asia Barat
KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan solidariti terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu, ketika ketegangan di Asia Barat semakin memuncak akibat siri serangan yang menggugat kestabilan rantau berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau malam tadi telah berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Asia Barat yang semakin meruncing.
Menurut beliau, Malaysia menyatakan solidariti kepada Turkiye susulan insiden peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara tersebut, sekali gus menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini.
Dalam perbualan berkenaan, Anwar turut menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Almarhum Ali Khamenei yang menurutnya berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
“Malaysia menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat. Pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Semalam, Markas Staf Am Angkatan Tentera Iran menafikan dakwaan pihaknya melancarkan peluru berpandu ke arah Turkiye, susulan laporan sistem pertahanan udara NATO telah memintas sebuah projektil yang dikesan merentasi ruang udara Iraq dan Syria.
Menurut kenyataan tersebut, Iran menegaskan bahawa kedaulatan negara jiran adalah keutamaan dalam doktrin pertahanannya.
Mengulas isu Palestin, Anwar berkata, Malaysia menghargai pendirian Turkiye serta beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
Tegas beliau, pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Saya menyatakan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat. Pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu adalah pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












