BERITA SEMASA

Malaysia tekad terajui masa depan AI serantau – Gobind

KUALA LUMPUR – Malaysia komited menjadi peneraju dalam era kecerdasan buatan (AI) di rantau ASEAN dengan memperkukuh usaha melalui transformasi industri, pembangunan bakat dan ekosistem inovasi.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dengan ekonomi digital ASEAN dijangka mencecah AS$1 trilion (RM4.8 trillion) menjelang 2030, peluang serta cabaran yang menanti amat besar.

“Malaysia bukan sekadar perlu menyesuaikan diri dengan era AI, tetapi mesti diberi kuasa untuk memimpinnya,”
katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) bertemakan “AI in Action: Driving Business Impact Across ASEAN” hari ini.

Gobind berkata, perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah AI Nation berasaskan tiga tonggak utama iaitu transformasi industri, pembangunan bakat serta pembinaan ekosistem inovasi yang seiring dengan kemajuan global.

Beliau turut berkongsi pentas bersama beberapa tokoh terkemuka termasuk, Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Wilson L. White, Profesor di Universiti Tokyo merangkap Pengerusi Persatuan Pembelajaran Mendalam Jepun; Dr Yutaka Matsuo serta Naib Pengerusi dan Presiden XPENG, Dr Brian Gu,.

“Setiap negara perlu mempersiapkan setiap lapisan masyarakat untuk menerima teknologi AI secara bertanggungjawab dan inklusif,” katanya lagi.

Menurut Gobind, Malaysia telah mengambil langkah konkrit bagi memperkukuh ekosistem digital negara termasuk dengan penubuhan Kementerian Digital bagi memacu agenda pendigitalan serta penubuhan Pejabat Nasional AI (NAIO) yang berperanan menerajui pelaksanaan dan tadbir urus AI di pelbagai sektor.

“Langkah-langkah ini memastikan Malaysia bukan sekadar bersedia menghadapi masa depan AI, tetapi tekad untuk menerajuinya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button