Malaysia terima 14 UAV, bot penyelamat dari Jepun
KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik pertahanan antara Malaysia dan Jepun diperkukuh lagi dengan penerimaan 14 pesawat udara tanpa pemandu (UAV) dan bot penyelamat dari kerajaan Jepun kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumbangan itu amat signifikan dalam meningkatkan kemampuan operasi pemantauan maritim, kawalan sempadan serta operasi keselamatan negara.
“UAV ini telah dirancang untuk diserahkan kepada ATM melalui inisiatif rasmi kerajaan Jepun bersama Malaysia. Ia merupakan sebahagian daripada kerjasama pertahanan yang lebih luas bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan selamat.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Disember 2023 telah bersetuju dengan penerimaan bantuan keselamatan ini yang akan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan di Auditorium Binary, Kompleks Haigate ATM, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kerjasama itu mencerminkan hubungan erat kedua-dua negara yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi dan hubungan rakyat, tetapi kini merangkumi sektor pertahanan.
Beliau turut berkata, Malaysia sebelum ini turut menerima bantuan seumpama itu dari negara-negara lain seperti Jerman, Australia dan Amerika Syarikat sebagai usaha memperkasa ATM.

“Setiap sumbangan ini membawa matlamat yang sama iaitu meningkatkan keupayaan pertahanan negara agar kita benar-benar bersedia menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks di rantau ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












