SUKAN

Malaysia tetapkan tarikh rasmi Sukan SEA 2027

PUTRAJAYA – Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah Sukan SEA selepas sedekad melalui penetapan tarikh rasmi penganjuran edisi ke-34 yang akan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027.

Penetapan tarikh itu diumumkan selepas melalui penelitian rapi bagi memastikan temasya terbesar Asia Tenggara itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pemilihan tarikh tersebut mengambil kira cuti universiti yang bermula pada 18 September serta faktor cuaca yang lebih stabil sebelum musim tengkujuh.

“Pengumuman tarikh serta senarai awal 38 jenis sukan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 yang diadakan hari ini,” katanya memetik laporan Metro Online.

Menurutnya lagi, langkah itu turut dibuat bagi mengelakkan pertindihan dengan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan acara besar lain.

“Kita buat pemilihan berdasarkan ketetapan Persekutuan Sukan SEA, kesesuaian venue sedia ada serta pertimbangan tambahan seperti sukan teras, Program Road to Gold (RTG) dan Program Podium,” katanya pada sidang media.

Penganjuran Sukan SEA 2027 akan melibatkan empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Sarawak akan menjadi pusat terbesar termasuk lokasi upacara pembukaan serta penganjuran 17 sukan seperti akuatik, angkat berat, e-sukan, gimnastik, kriket, memanah dan skuasy.

Pulau Pinang pula menempatkan acara seperti floorball, judo, pingpong, snuker dan sepak takraw manakala Johor menjadi venue tunggal bagi sukan bola sepak.

Kuala Lumpur kekal sebagai kluster tumpuan dengan acara popular seperti badminton, berbasikal, hoki, olahraga, karate, silat, ragbi dan pelayaran.

Dalam masa sama, Hannah turut mengumumkan Sukan Para ASEAN ke-14 akan berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur, membabitkan 18 sukan termasuk renang para, goalball, judo para, memanah para, powerlifting dan bola keranjang berkerusi roda.

Untuk rekod, Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2017 ketika kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button