BERITA SEMASA

Mangsa banjir meningkat di Sabah, dua PPS dibuka

KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir di daerah Penampang setakat pagi ini meningkat kepada 112 orang yang terdiri daripada 40 buah keluarga berbanding 78 orang daripada 28 keluarga tengah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berkata, semua mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak semalam.

Katanya, secara keseluruhan, jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir di negeri itu ketika ini adalah sebanyak 114 orang daripada 42 keluarga.

“Dua lagi mangsa dari dua keluarga adalah dari Putatan yang ditempatkan di Dewan Sri Putatan pada 1 pagi tadi,” katanya.

Beberapa kawasan di negeri ini terutama yang terletak berhampiran sungai dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak tengah hari semalam.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Penampang memaklumkan, pihaknya telah memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras banjir di Jalan Penampang Bypass, dekat Bulatan, Sigah, Penampang, pagi ini.

Operasi dibantu anggota daripada APM Kota Kinabalu segera bergerak untuk mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas akibat arus deras banjir.

Orang ramai dinasihati agar sentiasa peka dan waspada dengan keadaan sekeliling dan patuh pada arahan daripada anggota penyelamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button