BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Mangsa dihanyutkan arus pada hari terakhir projek – Polis

KUALA LUMPUR – Mangsa yang dihanyutkan arus deras berhampiran Pintasan Saloma di sini semalam dikenal pasti sebagai penyelia tapak projek yang baharu sahaja menamatkan kerja-kerja penambahbaikan Sungai Klang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun itu dikatakan bekerja pada hari terakhir ketika kejadian itu berlaku selepas projek di situ selesai.

“Ketika kejadian, mangsa dilaporkan cuba keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri selepas menyedari paras air meningkat secara tiba-tiba.

“Namun arus deras menyebabkan beliau gagal berpaut dan terus dihanyutkan,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Sazalee berkata, insiden yang berlaku pada pukul 5.40 petang itu turut membabitkan 13 pekerja projek di kawasan berkenaan.

“Tujuh adalah warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang warga tempatan. Mereka berjaya diselamatkan,” katanya.

Sazalee Adam
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam

Menurut Sazalee berkata, operasi pencarian hari ini diteruskan dengan kerjasama polis, bomba dan agensi berkaitan dengan tumpuan di sepanjang aliran Sungai Klang yang dijangka membawa mangsa ke kawasan lebih hilir.

Bagaimanapun katanya, paras air sungai yang agak tinggi pada pagi ini menyebabkan operasi terpaksa ditangguh sehingga paras air berkurangan.

“Direkodkan hampir enam meter dan keadaan itu menyukarkan operasi namun pasukan penyelamat tetap meneruskan pencarian sejauh mungkin dari titik mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

mangsa hanyut
Operasi mencari dan menyelamat mangsa hanyut di Sungai Klang oleh pihak berkuasa pagi ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button