BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia bawa keluar pesakit sawan dari Pulau Tioman

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan melaksanakan operasi pemindahan perubatan bagi membawa seorang pesakit lelaki berusia 57 tahun yang mengalami sawan dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Rompin, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, panggilan kecemasan diterima MRSC Kuantan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tekek yang memohon bantuan bagi memindahkan pesakit, Ahmad Rashidi Logam, yang disahkan mengalami 1st Onset Seizure.

Susulan makluman tersebut, MRSC Kuantan menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang dan aset PERKASA 1246 telah diaturgerakkan ke lokasi.

“Aset PERKASA 1246 mengambil pesakit di Jeti Marina Tekek bersama waris pesakit, Norayuli Zakaria dan seorang jururawat pengiring, Tarani A/P Nagarajan, sebelum bertolak ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading lebih kurang pukul 11.00 pagi.

“Aset berkenaan selamat tiba di jeti sekitar pukul 1.00 petang dan pesakit telah diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Rompin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button