BERITA SEMASA

Maritim Malaysia terima kapal, helikopter baharu perkukuh penguatkuasaan laut

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima beberapa aset strategik baharu termasuk Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) dan helikopter bagi memperkukuh keupayaan operasi penguatkuasaan serta keselamatan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan aset berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan keupayaan Maritim Malaysia bagi mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Menurut beliau, MPMS pertama dijangka diterima pada pertengahan tahun 2027, manakala MPMS kedua yang kontrak perolehannya dimeterai pada 21 April lalu dijadual siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan aset dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia kerana agensi ini merupakan benteng hadapan negara dalam menjaga keselamatan perairan serta kedaulatan negara.

“Perairan negara meliputi lebih 556,000 kilometer persegi dan merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Selain kapal baharu, Saifuddin berkata, Maritim Malaysia turut bakal menerima empat helikopter AgustaWestland AW189 tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai depan.

Katanya, aset udara tersebut akan meningkatkan keupayaan rondaan maritim, penguatkuasaan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di seluruh Zon Maritim Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan.

Menurutnya, keperluan memperkukuh aset dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia menjadi semakin penting ketika perkembangan geopolitik global, termasuk ketegangan di Selat Hormuz, meningkatkan peranan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling strategik di dunia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, menerusi Op Tiris 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu, Maritim Malaysia merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun lalu.

Katanya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan operasi penguatkuasaan dalam mengekang penyeludupan diesel, petrol dan barangan bersubsidi daripada diseleweng ke luar negara atau digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button