Maritim Zon Kuala Kurau rampas dadah RM12,000 di perairan Perak
KUALA KURAU – Dua jenis dadah, disyaki heroin dan methamphetamine dianggarkan bernilai RM12,000 dirampas oleh Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau dalam satu operasi khas di perairan Perak, semalam.
Pengarahnya, Komander Mohd Hairil Othman berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat orang awam mengenai aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai bertumpu di kawasan muara sungai terpencil.
“Dalam operasi tersebut, dua lelaki dikesan berada di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan paya bakau berhampiran sebaik menyedari kehadiran pihak penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut menemui dua jenis dadah siap dibungkus yang dianggarkan bernilai RM12,000, dipercayai untuk pasaran tempatan.
Selain itu, sejumlah wang tunai kira-kira RM2,500 yang ditemui di dalam sebuah beg yang ditinggalkan di atas bot tersebut turut dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti transaksi bahan terlarang berkenaan.
Turut dirampas beberapa unit telefon bimbit dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau untuk tindakan lanjut dan siasatan di bawah undang-undang berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












