BERITA SEMASADALAM NEGERI

Masjid MADANI : Penglibatan PM dikenang sampai bila-bila – Pengarah Jakel

KUALA LUMPUR — Pengarah Jakel Trading Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel mengakui bahawa usaha pembinaan Masjid MADANI di Jalan Munshi Abdullah di sini tidak akan berjaya tanpa penglibatan secara langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, masjid tersebut bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu kepada umat Islam di kawasan itu malah sebagai simbol sokongan dan keprihatinan pemimpin negara terhadap keharmonian masyarakat.

“Tanpa penglibatan Datuk Seri Anwar, usaha ini tidak akan tercapai. Dengan terbinanya masjid ini, beliau akan dikenang sampai bila-bila, bukan kerana membantu kami, tetapi kerana membantu umat Islam di kawasan ini,” katanya dalam ucapan Majlis Pecah Tanah Masjid MADANI di Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini.

Masjid MADANI yang bakal dibina di tapak bersebelahan bangunan Jakel di Jalan Munshi Abdullah di sini bakal menyaksikan bangunan empat tingkat yang mampu menampung kapasiti jemaah sehingga 2,900 jemaah pada satu-satu masa.

Pembinaannya dijangka siap dalam tempoh setahun dari tarikh pembinaan tidak lama lagi.

Isu pembinaan masjid di lokasi berkenaan sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila tanah yang dibeli oleh Jakel di situ menempatkan sebuah kuil Hindu yang akhirnya dipersetuju dipindahkan selepas mendapat tapak baharu.

Anwar Ibrahim diiringi menteri-menteri Kabinet menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Masjid MADANI di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu Mohamed Faroz turut merakamkan penghargaan kepada beberapa individu yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan projek berkenaan, termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Mohamed Faroz turut mendoakan semua pihak yang terlibat dalam usaha pembinaan masjid itu agar mendapat ganjaran setimpal atas usaha mereka.

“Saya berdoa kepada semua yang menyokong usaha ini diberikan ganjaran syurga firdaus dan kepada yang bukan islam semoga dikurniakan kesejahteraan dan semoga semangat perpaduan dan keharmonian yang kita kecapi akan sentiasa berkekalan.

“Jika kita bina satu masjid di dunia, Allah akan bina satu rumah untuk kita di syurga, insya-Allah,” tambahnya.

Tegasnya, usaha membangunkan rumah ibadat itu merupakan tanggungjawab bersama, bukan semata-mata inisiatif pihaknya dan keluarga.

“Ini hanyalah permulaan. Kita akan pastikan masjid ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi menjadi pusat kehidupan umat Islam di tengah bandar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button