Masters Games KBS tarik lebih 6,000 peserta, usia antara 40 hingga 60 tahun
KUALA LUMPUR – Penganjuran Masters Games Kementerian Belia dan Sukan (KBS) edisi kedua tahun ini mendapat sambutan luar biasa apabila mendapat penyertaan lebih 6,000 peserta yang berusia antara 40 hingga 60 tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penganjuran kali ini menampilkan lebih banyak jenis acara sukan berbanding edisi pertama, dengan peningkatan kepada dua kali ganda jumlah disiplin yang dipertandingkan.

“Tahun ini kita menggandakan jenis sukan kepada dua kali ganda dan menerima lebih 6,000 penyertaan dalam kalangan peserta berumur antara 40 hingga 60 tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Masters Games KBS di sini, hari ini.
Hannah berkata, kementeriannya turut menerima banyak permintaan daripada golongan berusia 60 tahun ke atas untuk turut serta, namun buat masa ini penganjur lebih selesa menumpukan kepada kategori umur 40 hingga 60 tahun.
“Saya faham warga emas juga masih aktif dan berminat dalam pelbagai sukan seperti scrabble dan golf.
“Jadi bagi penganjuran tahun depan, kita akan dapatkan pandangan pakar kesihatan dan doktor untuk menilai kesesuaian penyertaan bagi kumpulan umur tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, peningkatan penyertaan kali ini membuktikan bahawa Masters Games semakin popular dan relevan, seiring dengan usaha kerajaan memperkenalkan insentif cukai RM1,000 kepada pembayar cukai bagi perbelanjaan latihan sukan bermula tahun taksiran 2025.
“Kalau kita lihat, jumlah peserta 6,000 orang ini hampir separuh daripada jumlah peserta temasya Sukan SEA. Ini menunjukkan semangat bersukan dalam kalangan masyarakat semakin meningkat,” katanya lagi.
Hannah berkata, penganjuran Masters Games memberi impak besar kepada gaya hidup sihat dan kesejahteraan sosial, terutama bagi golongan pertengahan usia.
“Apabila ada pertandingan, akan wujud latihan sepanjang tahun. Sukan berpasukan ini juga penting untuk mengelakkan mereka daripada kemurungan dan kesunyian di rumah,” katanya lagi.
Menurut beliau, penganjuran acara itu juga tidak memerlukan perbelanjaan besar kerana kos keseluruhan tidak melebihi RM2 juta, namun berjaya mencapai kumpulan sasar yang diinginkan.
“Kita mahu gaya hidup sihat ini bukan sahaja tertumpu kepada golongan muda, tetapi untuk semua peringkat umur,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












