Mayat bayi perempuan bertali pusat ditemukan di tandas Bukit Serindit
MELAKA – Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemukan di tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, pada awal pagi tadi.
Memetik laporan BH Online, kejadian pukul 9.40 pagi itu disedari oleh seorang pekerja pembersihan tandas terbabit yang menemui bayi berbalut kain telekung dan diletakkan dalam sebuah beg sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy, meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang menyedihkan.
“Cukup sifat dan masih bertali pusat. Memang siallah siapa punya pekerjaan ni.
“Bikin angin pagi-pagi Jumaat. Maklumat lanjut korang baca kat portal online jerlah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung butiran kes dan siasatan masih dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











