JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat bertatu ‘King’ ditemukan di tebing sungai Bandar Sunway

SUBANG JAYA – Satu mayat lelaki tanpa identiti yang mempunyai tatu ‘King’ serta simbol mahkota di lengan kanan ditemukan di tebing sungai Bandar Sunway, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada orang awam pukul 2.43 petang semalam.

“Siasatan awal di lokasi mendapati, mayat tersebut ditemukan dalam keadaan hanya memakai seluar pendek warna hitam dan tidak berbaju.

“Mangsa memakai gelang di lengan kanan dan terdapat ukiran tatu bertulis ‘King’ serta gambar mahkota di bawah pelipat lengan kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan fizikalnya.

Identiti serta bangsa mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan di tempat kejadian berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna.

“Jasad mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti,” katanya.

Wan Azlan berkata,kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah dikenal pasti pada jasad mangsa.

“Cebisan daging serta tulang mangsa telah diambil untuk semakan DNA (asid deoksiribonukleik) mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga agar tampil menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button