BERITA SEMASADALAM NEGERI

MCMC, agensi kerajaan bertemu syarikat platfom media sosial di Singapura

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa agensi kerajaan akan bertemu dengan syarikat media sosial utama dunia termasuk Meta Platforms Inc, Google dan X di Singapura minggu depan bagi membincangkan pelaksanaan proses pengesahan identiti pengguna atau ‘electronic Know Your Customer’ (eKYC).

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, perbincangan itu bertujuan memastikan pelaksanaan eKYC mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), sekali gus mengelak sebarang risiko kebocoran atau penyalahgunaan maklumat pengguna yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.

Beliau menjelaskan, antara fokus utama kerajaan adalah memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian, khususnya bagi mengekang eksploitasi seksual dan aktiviti pedofilia di platform media sosial. Katanya, perlindungan terhadap golongan bawah umur memerlukan pelaksanaan sistem eKYC yang telus dan efektif.

“Cabaran besar yang kita hadapi hari ini ialah melindungi kanak-kanak daripada ancaman pedofilia dan kandungan berbahaya di alam siber.

“Justeru, pelaksanaan eKYC akan menjadi langkah penting dalam usaha ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH–Bangi) di Dewan Rakyat.

Menjawab pertanyaan mengenai kawalan akses media sosial untuk pengguna berusia bawah 16 tahun, Fahmi berkata, pertemuan dengan syarikat berkenaan akan turut meneliti mekanisme teknikal yang boleh digunakan bagi melaksanakan sekatan tersebut tanpa menjejaskan hak pengguna sah.

Sementara itu, menyentuh keputusan Mahkamah Rayuan berhubung Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Fahmi menegaskan kerajaan menghormati keputusan bahawa peruntukan mengenai “perkataan jelik dan menyakitkan hati” adalah tidak berperlembagaan.

Namun, katanya, kerajaan telah memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi meneliti aspek undang-undang dan perlembagaan secara menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa semua pihak wajar menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum membuat sebarang tafsiran atau kenyataan lanjut mengenai isu berkenaan, bagi mengelak sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses kehakiman dan mencetus isu sub judice.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button