MCMC anjur 37 sesi libat urus dengan platfom media sosial, perkukuh keselamatan dalam talian
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan 37 sesi libat urus bersama platform media sosial dan pelbagai pihak berkepentingan dalam tempoh enam bulan lalu bagi memperkukuh keselamatan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.
MCMC dalam kenyataan berkata, sesi berkenaan melibatkan penyedia platform, agensi penguat kuasa, pihak pengesah ketiga serta pelbagai pihak berkepentingan lain sebagai sebahagian usaha memperkukuh perlindungan pengguna internet di Malaysia.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada langkah proaktif membendung dan memoderasi kandungan berbahaya termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), penipuan dalam talian, buli siber dan ancaman berkaitan lain.
“Ia turut melibatkan perbincangan mengenai kawalan ibu bapa, perlindungan akaun pengguna dan akauntabiliti platform,” kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, usaha tersebut menyumbang kepada penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu bagi memperkukuh tanggungjawab penyedia platform dalam menangani kandungan berbahaya serta meningkatkan keselamatan pengguna di negara ini.
Katanya, ONSA dilaksanakan seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyokong langkah keselamatan dalam talian termasuk perlindungan kanak-kanak serta syarat umur bawah 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial.
“Langkah ini bertujuan mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur pengguna muda dengan penekanan terhadap pemantauan ibu bapa, perlindungan platform dan reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Daripada 37 sesi yang diadakan, enam dilaksanakan sebelum penguatkuasaan ONSA manakala 31 lagi berlangsung selepas akta itu dikuatkuasakan termasuk melalui inisiatif Regulatory Sandbox yang memberi fokus kepada kesiapsiagaan pelaksanaan dan langkah pengesahan umur.
MCMC turut mengadakan lawatan kerja dan perbincangan teknikal di Singapura melibatkan penyedia platform utama bersama wakil Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Perbincangan itu tertumpu kepada aspek pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform dan moderasi kandungan berbahaya.
Susulan itu, MCMC melaksanakan inisiatif Regulatory Sandbox pada Januari 2026 bagi menilai pendekatan pelaksanaan pengesahan umur melibatkan agensi kerajaan, platform digital dan rakan ekosistem pengesahan.
Sesi libat urus yang dijalankan sejak November tahun lalu turut melibatkan pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil, ahli akademik dan organisasi antarabangsa bagi memastikan pelaksanaan langkah di bawah ONSA lebih praktikal dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












