BERITA SEMASADALAM NEGERI

MCMC sekat 2.1 bilion panggilan, 2.1 bilion SMS sejak 2022 – Fahmi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berjaya menyekat sebanyak 2.1 bilion panggilan serta 2.1 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan sejak tahun 2022 hingga 1 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 184,289 talian mudah alih dan tetap yang dikenal pasti menghantar SMS mencurigakan turut ditamatkan dalam tempoh berkenaan.

“Usaha itu dilaksanakan bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, selaras dengan pindaan Seksyen 233(1) Akta 588.

“Penyebaran kandungan palsu dengan niat melakukan penipuan adalah satu kesalahan yang boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Baca juga : MCMC sedia perkukuh keselamatan dalam talian kanak-kanak – Fahmi

Beliau berkata, MCMC turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memberikan bantuan teknikal merangkumi permohonan penurunan kandungan di media sosial, sekatan laman sesawang, pembekalan maklumat profiling serta analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan berkaitan jenayah penipuan dalam talian.

“Dari 1 Januari 2024 sehingga 1 Ogos lalu, penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan MCMC sudah mengambil tindakan penurunan 112,734 kandungan penipuan dan menyekat tujuh laman sesawang berunsur penipuan.

“Tindakan itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang sudah ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan,” katanya.

Menurut beliau, mulai 1 September tahun lalu, arahan larangan terhadap kandungan terlarang dalam SMS yang mengandungi pautan (hyperlink), permintaan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi (callback number) telah dikuatkuasakan.

“Langkah itu bertujuan melindungi pengguna dan seterusnya membendung jenayah penipuan di mana perkhidmatan SMS boleh dieksploitasi oleh penjenayah dengan menyamar sebagai pelbagai pihak termasuk entiti awam dan swasta untuk memperdayakan orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, MCMC turut melancarkan Kempen Internet Selamat pada 21 Januari lalu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian dan mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah digital.

“Kempen berkenaan akan dilaksanakan di 10,000 sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui beberapa inisiatif libat urus dan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti awam seluruh negara.

“Bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutama kepada kanak-kanak dan keluarga, MCMC melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu,” katanya.

Katanya lagi, bagi memperkukuhkan sistem dan proses penyedia perkhidmatan dalam usaha mengurangkan kemudaratan dalam talian, penyedia perkhidmatan disarankan mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial yang telah diterbitkan oleh MCMC pada 20 Disember 2024.

“Sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh iaitu ‘whole of government’ bagi membanteras penipuan dalam talian, kerajaan menubuhkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan MCMC.

“NSRC diterajui PDRM bukan sahaja berfungsi sebagai pusat tindakan sehenti, malah turut giat melaksanakan program kesedaran awam dan kempen nasional berkaitan penipuan dan jenayah digital,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button