MINDEF santuni veteran ATM di Daro
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus komited memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari hadir menyantuni golongan tersebut menerusi Jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di Daro, Sibu hari ini.
MINDEF dalam satu kenyataan berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif utama yang dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bagi memastikan kebajikan veteran dan keluarga mereka terus terbela.

“Platform PVM menjadi kaedah terbaik MINDEF mendengar sendiri isu dan keperluan semasa veteran ATM dalam menilai akses kepada perkhidmatan kesihatan, peluang ekonomi serta sokongan sosial sekali gus membantu pihak kementerian dan JHEV ATM menambah baik dasar, pendekatan dan program yang tersusun dan inklusif,” kata kenyataan tersebut.
Dalam jelajah kali ini, Adly berkesempatan menyantuni seramai 11 veteran ATM yang terdiri daripada golongan asnaf, pesakit kronik, balu serta keluarga yang mempunyai ahli Orang Kurang Upaya (OKU) di sekitar daerah Daro dan Matu.
Selain bertanya khabar, beliau turut menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan kebajikan termasuk bantuan keperluan asas, peralatan pesakit serta bantuan baik pulih rumah.
“Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka, Pingat Jasa Malaysia (PJM) turut dianugerahkan kepada veteran yang layak.
“Di samping itu, sebanyak 100 Bakul Rahmah diagihkan kepada persatuan-persatuan veteran setempat,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, MINDEF menegaskan veteran ATM merupakan aset negara yang wajar dihargai kerana pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Justeru, kementerian akan terus memperluas pelaksanaan program seumpama ini ke seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi memastikan tiada veteran yang tercicir.
“Usaha ini juga selaras dengan agenda memperkukuh kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP), khususnya veteran ATM dan keluarga mereka,” kata MINDEF.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail; Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged), Brigedier Jeneral Datuk Jafri Sulaiman; Pengarah JHEV ATM Cawangan Sarawak, Mejar Steven anak Kadir; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sibu serta persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Sibu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












